|
Oleh Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein
Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana
mengizinkan kita menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda
UMNO Malaysia 2006 ini.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
serta para sahabat baginda. Bagi pihak seluruh barisan Exco,
saya mengalu-alukan kehadiran saudara para perwakilan sekalian.
Semoga perhimpunan ini akan terus meneguhkan iman, meningkatkan
amal dan menambahkan ilmu kita semua demi mengangkat maruah
bangsa dan syiar Islam.
Mudah-mudahan ia akan menyemarakkan idealisme serta memastikan
obor perjuangan UMNO terus membara.
Hasrat memperkukuh tekad perjuangan ini adalah hasrat murni yang
lahir dari jiwa yang sentiasa ingin mengejar kecemerlangan dan
kegemilangan.
Dalam konteks ini, saya ingin mengajak saudara-saudara merenung
sejenak ucapan Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar dalam satu
perjumpaan Pemuda di Muar, Johor beberapa jam sebelum beliau
menghembuskan nafasnya yang terakhir:-
“... perjuangan UMNO seluruhnya dan khasnya Pemuda yang akan
menerima pusaka daripada orang-orang yang tua sekarang ini,
adalah satu perjuangan yang amat sulit, amat berat dan tidak
boleh diambil secara sambil lewa sahaja.
Dalam perjuangan, kita mestilah serius. Selain dari serius,
dalam keadaan serius kita juga, kita mestilah jujur. Inilah dua
syarat yang penting untuk mencapai atau sampai ke matlamat yang
kita tuju. Kalau kita tidak serius, (atau) kalau kita serius
tetapi untuk kepentingan diri, bencana dan celaka juga padahnya
kepada bangsa dan keturunan kita yang akan datang.”
Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar
Ucapan Terakhir Ketika Memimpin Pemuda UMNO Malaysia.
Muar, Johor 1977
Inilah wasiat terakhir seorang Ketua Pemuda UMNO yang
mengingatkan agar kita berjuang secara serius dan jujur.
Atas semangat inilah, saya juga mengingatkan saudara-saudara
semasa berhimpun di dewan ini tahun lalu, kita telah sama-sama
berikrar untuk mewarisi perjuangan ini dengan rasa keinsafan dan
tanggungjawab.
Kita telah bersumpah bahawa perjuangan ini tidak dipersia malah
akan terus dibela dan dipertahankan. Kita telah berjanji nasib
bangsa tidak diperjudikan, tamadun kegemilangan Melayu akan
terus subur dan Melayu takkan hilang di dunia.
Kekuatan Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional hari
ini.
Berkat kesabaran, kesatuan hati dan fikiran dalam merencana
serta menunaikan amanah tersebut, maka dalam Perhimpunan Agong
Pergerakan Pemuda tahun 2006 ini, saya tidak teragak-agak untuk
menyatakan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah berada
di puncak kekuatan.
Prinsip, nilai dan budaya kerja yang selama ini kita semai telah
mekar subur menjadi pegangan serta amalan Pemuda.
Alhamdulillah, kehadiran Pemuda kini dirasai di mana-mana dari
ceruk kampung hingga ke kota besar, dari persada nasional hingga
ke peringkat antarabangsa. Khidmat Pemuda dicurah tanpa mengira
masa dan sesiapa jua; tua, muda, miskin dan kaya; dari pelajar,
belia dan peneroka malah mat rempit pun kita himpit!
Kekuatan
ini hanyalah permulaan kepada perjuangan yang lebih besar iaitu
perjuangan mengisi, melengkapi dan memenuhi tuntutan bangsa;
membebaskan orang Melayu dari belenggu kemunduran, menegakkan
cita-cita agama serta melahirkan rakyat Malaysia yang progresif
dan bersatu padu.
Kekuatan
ini mengajak kita untuk bersama-sama merenung sambil memikirkan
nasib masa depan kita dan anak-anak kita yang bakal mewarisi
bumi tercinta ini; merenung sambil menginsafi agar tidak mudah
khayal bila ada kuasa dan mudah alpa bila sudah bahagia;
merenung sambil bermuhasabah untuk memperbaiki kelemahan lalu
agar amalan diberkati Allah S.W.T.
Kekuatan
Pemuda UMNO ini membolehkan ia tidak lagi sekadar menjadi
jurubicara dan menjadi pendesak semata-mata tetapi sentiasa
bersedia untuk memikul tanggungjawab dan bersedia diuji
ketajaman fikiran, kekentalan semangat serta keluhuran
perjuangannya.
Saat ini bukan lagi saat untuk menuntut pengiktirafan dan bukan
saat untuk bertentang haluan. Sebaliknya, dengan kepemimpinan
yang dinamik dan kesediaan untuk menerajui pembaharuan, Pemuda
perlu lebih serius mempersiapkan diri bagi memikul tanggungjawab
membina bangsa yang kian hari kian besar; kian hari kian
mencabar.
Kekuatan
Pemuda UMNO ini juga seiring dengan kekuatan Pemuda Barisan
Nasional. Sepanjang memimpin Pemuda Barisan Nasional, saya amat
menghargai sokongan, semangat setia kawan dan kepercayaan yang
telah diberikan. Dalam keadaan yang ada kalanya menguji kekuatan
dan perpaduan sesama kita; sokongan, semangat setia kawan dan
kepercayaan inilah yang menjadi benteng kekuatan kepada bahtera
Barisan Nasional dari tenggelam dipukul gelora dugaan dan
cabaran.
Saya yakin bahawa kekuatan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional
ini berjaya wujud sejak sekian lama kerana ia dipupuk dan dijaga
bersendikan kepada keikhlasan, persefahaman, kejujuran, tanpa
rasa curiga dan syak wasangka.
Saya percaya bahawa kekuatan ini juga lahir di atas kesedaran
akan perlunya kepada perkongsian tanggungjawab dalam menuju
destinasi bersama (shared responsibility and joint destiny).
Ini kerana semangat Barisan Nasional itu bukan sekadar berdiri
atas persefahaman politik kongsi kuasa semata-mata tetapi juga
bersandarkan kepada hubungan jiwa dan hubungan niat. Oleh itu,
sebarang permasalahan dan konflik hendaklah ditangani secara
bersama dengan penuh kebijaksanaan.
Kita mesti ingat bahawa pembentukan negara Malaysia yang
diimpikan tidak mungkin terbina di atas pemikiran sempit,
chauvinis dan keterlaluan.
Jangan pertaruhkan masa depan negara di tangan mereka yang
bankrap idea politik perpaduan dan keharmonian; mereka yang
tergamak mengamalkan politik perkauman yang dangkal untuk
menonjolkan diri sebagai `jaguh’ kepada kaumnya; mereka yang
hanya mahu dan mementingkan pulangan politik murahan
semata-mata.
Kita mengingatkan mereka agar jangan cuba menggugat perpaduan
ini dan jangan sama sekali bermain api perpecahan. Kita kenal
siapa mereka, kita tahu di mana mereka berada dan apa yang
mereka perkatakan.
Kita Pemuda UMNO, sama sekali tidak gentar untuk berhadapan
dengan jenis pemimpin oportunis ini. Kepada mereka, saya ingin
ulangi bahawa sesungguhnya.
Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dalam soal
masa depan negara. Kita akan pastikan tidak ada tempat bagi
mereka menjadi pemimpin dalam perjuangan Parti Barisan Nasional.
Lantaran itulah sering kali saya mengingatkan Pemuda UMNO agar
tidak terjebak dalam permainan politik kebencian.
Sebaliknya saya menekankan kepada saudara-saudara sekalian agar
kembali kepada idealisme UMNO yang mementingkan kesatuan, sikap
toleransi yang tinggi dan sifat bertanggungjawab; yang menjadi
teras kepada kekuatan Barisan Nasional selama ini.
Kesetiaan kepada UMNO dan kesetiaan kepada pemimpin dalam
konteks agama dan budaya Melayu.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Kesetiaan kepada UMNO
Pada tahun ini, sekali lagi kita melihat keris pusaka kita
dibawa masuk dengan penuh adat-istiadat ke dalam perhimpunan
yang berkat ini. Saya masih tidak lupa bahawa pada Perhimpunan
Agung Pemuda tahun lepas, Keris Panca Warisan telah
mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Melayu.
Sungguh terkongkong pemikiran dan pemahaman mereka terhadap
budaya warisan nenek moyang kita! Apakah mereka tidak sedar
bahawa selama ini kita telah sama-sama mengamalkan konsep
Kesatuan Dalam Kepelbagaian Budaya (Unity in Diversity)?
Keris tidak seharusnya dianggap sebagai satu lambang penjajahan
ke atas kaum bukan Melayu, bukan juga satu simbol penganiayaan
kepada mereka dan tidak sekali-kali merupakan penindasan ke atas
kaum bukan Melayu oleh orang Melayu.
Sekali lagi saya tegaskan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti
dan digusari terhadap Keris Panca Warisan kerana
sebenarnya ia adalah lambang manifestasi Tekad Baru Pemuda -
satu tekad untuk mengupayakan orang Melayu melalui perjuangan
Pemuda UMNO; Tekad yang berlandaskan kepada pancaran lima rukun
idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam, Rukun Iman, Rukun Negara,
Agenda Melayu dan Jati Diri. Ia juga mengajar kita untuk
sentiasa membina kekuatan dalam menghadapi setiap cabaran.
Disebabkan itu, saya amat berbangga dengan kematangan dan
kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh Pemuda dalam menangani
isu-isu semasa walaupun kadang-kala ada di kalangan kita yang
terlepas had dan batasan.
Kematangan dan kebijaksanaan menghadapi babak-babak tragis serta
jatuh bangun sejak UMNO ditubuhkan, benar-benar memberikan
kesedaran kepada orang Melayu untuk mempertahankan kewujudan dan
kesinambungannya.
Ini kerana UMNO begitu sinonim dengan Melayu. Kiranya pemimpin
UMNO digoyang, maka haluan perjuangan menjadi terumbang. Kiranya
UMNO pula tumbang, maka nasib Melayu akan menjadi malang.
Justeru, ahli-ahli UMNO dan Pemuda dilatih untuk cepat bertindak
bermuhasabah dan pantas berdiri teguh setia dengan parti ketika
berdepan tentangan dan cabaran. Meskipun ada kalanya masyarakat
memandang sinis terhadap kita, tetapi setia kita tetap bertempat
dan tepat kepada UMNO. Itulah yang menjadi azimat besar kepada
kelangsungan kita selama ini.
Angkut-Angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia kita tak kan berubah.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Kesetiaan kepada pemimpin dalam konteks tuntutan agama Islam
Alhamdulillah, kelangsungan kita ini bersendikan ketaatan kepada
pucuk kepimpinan parti yang kita pilih, dari akar umbi hinggalah
kepimpinan tertinggi. Selama ini ahli-ahli UMNO tidak salah
membuat perhitungan dalam memilih pemimpinnya.
Pemimpin yang ditakdirkan Allah S.W.T dan dipilih dari rasa
hormat umat ke atas kepimpinannya adalah pemimpin yang wajib
ditaati. Seperti firman Allah S.W.T, Surah An Nisa’ ayat 59:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan
taatlah kepada Rasul dan kepada pemimpin yang dilantik di
kalangan kamu”.
Jelas, ketaatan adalah tonggak kekuatan parti dan negara. Maka
saya mengharapkan agar Pemuda yang telah sekian lama setia
berpegang pada prinsip ketaatan kepada parti dan pemimpin ini
dapat menggunakan kematangan dan kewarasan dalam menghadapi
sebarang situasi sukar agar pemimpin kita terus dipertahankan
dan parti keramat UMNO ini dapat terus menjadi wadah kepada
orang Melayu dan agama suci Islam.
Berdasarkan kepada ajaran Islam yang suci, marilah kita membina
sebuah kesatuan yang bersandarkan kepada kesatuan fikiran
(wahdatul fikri) dan kesatuan tindakan (wahdatul amal) agar
setiap tindakan dan gerakan yang berpaksi teguh kepada agama
ini, dapat menyelesaikan krisis, cabaran dan gelombang dalam
kepimpinan.
Sekali lagi dalam Surah An-Nisa’, dalam ayat yang sama, Allah
S.W.T telah memberi panduan kepada kita apabila berhadapan
dengan kemelut krisis perbezaan pandangan dalam firman-Nya;
“Apabila kamu berselisih pandangan tentang sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah dan Rasul (Agama),
jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Hal yang
demikian merupakan sebaik-baik jalan buat kamu”.
Islam adalah agama yang mengajar kita menghormati perbezaan
pandangan dan pendekatan, asalkan niatnya ikhlas kerana Allah
S.W.T dan tujuannya adalah untuk kebaikan membangunkan ummah.
Sabda Nabi Muhamad S.A.W. yang bermaksud :
“Perbezaan pandangan di kalangan umatku akan mendatangkan
rahmat” Walau bagaimanapun, Islam tidak mengizinkan nilai rahmat
ini dicemari akibat pergeseran peribadi dan kepentingan diri.
Kesannya bukan rahmat yang dinikmati umat tetapi akan muncul
keretakan dan perpecahan yang meresahkan.
Islam juga mengajar kita agar perlu sentiasa berpegang kepada
prinsip mematuhi keputusan yang dibuat secara kolektif dan
melalui musyawarah.
Dengan ini ia dapat mengekalkan keharmonian antara yang memimpin
dan yang dipimpin. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah
Ali-Imran, Ayat 159:
“...dan hendaklah kamu bermusyawarah dengan mereka dalam sesuatu
perkara, dan setelah membuat keputusan dengan penuh keazaman,
maka bertawakallah kepada Allah ke atas keputusan itu.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepada-Nya”.
Maka sebagai ahli-ahli UMNO yang taat setia pada ikrar parti dan
berpegang teguh kepada ajaran Islam, marilah kita bertawakal
kepada-Nya. Insya Allah, Allah S.W.T akan merahmati dan
melindungi kita dan para pemimpin kita.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Kesetiaan kepada pemimpin dalam konteks budaya Melayu
UMNO adalah parti keramat, ditubuhkan atas ketentuan, bukan
kebetulan; ketentuan matlamat dan ketentuan kepimpinan;
ketentuan yang telah menjadikan UMNO tetap utuh dan kukuh
biarpun telah melewati usia 60 tahun.
Pastinya bukan mudah bagi setiap kepimpinan memikul perjuangan
keramat ini. Begitu banyak cabaran, rintangan dan cemuhan
terpaksa ditempuhi.
Walau bagaimanapun dengan rahmat dan keredaan-Nya mereka
diberikan kekuatan dan semangat untuk membina bangsa dan membawa
negara ke arah yang lebih cemerlang.
Kini tiada siapa boleh menafikan, sejarah telah dan akan menilai
mereka sebagai pemimpin-pemimpin terbilang. Inilah takdir dan
ketentuan kepimpinan parti keramat UMNO.
Dengan bertiangkan syiar agama dan berpandukan nilai budaya
Melayu, kita telah berjaya membina tradisi kepimpinan sehingga
hari ini. Dalam semangat yang sama kita berjaya merungkaikan
segala kekusutan dan kembali bertaut bagaikan kiambang.
Air dicincang tidak akan putus,
air yang dingin dapat juga memadamkan api,
Air sama air kelak akan menjadi satu, dan
sampan itu akan ke tepi jua
Dalam alam Melayu pemimpin memiliki pengaruh besar dalam
menentukan nasib bangsa dan negara. Kekuasaan dan kepercayaan
untuk memimpin diberikan dengan harapan ia mampu memegang amanah
dan tidak disalahgunakan. Dalam ungkapan adat dikatakan bagi
seorang pemimpin :-
Adat memegang kepercayaan orang,
Jangan sekali main belakang;
Adat memegang kekuasaan,
Jangan sekali merosak-binasakan;
Adat memegang kebebasan,
Jangan sekali lupa batasan.
Kita turut diajar tentang sifat pemimpin Melayu yang luhur.
Masyarakat telah mengenal rangkap berikut sejak turun temurun
dalam usaha menentukan pemimpin;
Tuah kain pada tenunnya,
Tuah pemimpin pada santunnya;
Tuah kayu elok buahnya,
Tuah Melayu elok maruahnya; Elok kain elok raginya,
Elok pemimpin elok negerinya.
Tetapi sekiranya sudah wujud gangguan dalam kepimpinan,
Bila kain sudah koyak,
Bila dipakai aib tersingkap,
Bila pemimpin sudah rosak,
Bila dipakai umat menghidap,
Bila kain sudah lapuk,
Bila dipakai tentulah koyak,
Bila pemimpin akhlaknya buruk,
Aib terburai umat bergasak.
Pada masa yang sama Pemuda tidak melupai jasa dan pengorbanan
para pemimpin ulung UMNO. Walau apa pun yang telah zahir dan
dizahirkan dalam polemik di akhir-akhir ini, Pemuda akan terus
membudayakan kebenaran dan menghormati lagi menghargai jasa
pemimpin.
Pemuda bukan tergolong kepada ungkapan ‘hilang di mata hilang di
hati’. Presiden yang membimbing kita disokong tanpa berbelah
bagi; pemimpin terdahulu tetap dihormati dan dikasihi.
Di sinilah letaknya budi bahasa dan tata susila Melayu. Kepada
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad – kami terhutang
budi. Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad
Badawi – terus pimpinlah kami.
Demikianlah dalam budaya Melayu bila sengketa bermula. Ia
bermain dengan penuh kiasan, pantun, lambang, ibarat, tamsil dan
perumpamaan yang sarat dengan nilai-nilai luhur dan kehalusan
budi.
Ia adalah lambang kelunakan hati-budi dalam mengungkai segala
permasalahan. Demikianlah pula yang terjadi dalam soal
kepimpinan UMNO yang tentunya dapat dirungkaikan dalam adat dan
syarak selagi ia berhajat membawa kepada kebaikan.
Percayalah, sejarah akan membuktikan bahawa ketentuan di setiap
era kepimpinan parti keramat UMNO ini akan mempunyai nilai dan
makna yang tersendiri kepada ketamadunan bangsa dan negara.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Keterbukaan dan ketelusan dalam kedudukan agama Islam dan orang
Melayu dalam Perlembagaan dan sosial kontrak.
Hari ini kita dapat merasai corak kepimpinan yang terbuka dan
telus dalam Kerajaan mentadbir dan mengurus hal ehwal negara.
Pelbagai pandangan dan suara rakyat dapat kita dengar.
Malah suara keterbukaan dan kebebasan semakin terasa dalam
suasana masyarakat sivil sama ada dari pertubuhan-pertubuhan
bukan Kerajaan (NGO), media atau individu.
Sesungguhnya pendekatan keterbukaan ini adalah satu keikhlasan
Kerajaan dalam membina sebuah negara di mana rakyatnya mesti
peka dan responsif dengan segala keadaan dalaman atau luaran.
Walau bagaimanapun kesedaran untuk memelihara kontrak sosial dan
mempertahankan keluhuran perlembagaan sejak sekian lama
hendaklah terlebih dahulu difahami dan ditaati.
Pemuda menekankan perkara ini kerana sejak akhir-akhir ini kita
dapati ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya mengintai peluang
lalu mengambil kesempatan dengan menguji batas toleransi
Kerajaan.
Isu-isu agama dan perkauman diperdebatkan tanpa ada pertimbangan
rasional terhadap kesannya kepada hubungan antara kaum di negara
ini.
Kritikan yang sepatutnya membina telah menjadi semakin berdendam
(vindictive), melepaskan geram dan benci; berniat jahat dan iri
hati.
Ada
di antara mereka pula menggunakan segala ruang dengan menyebar
fitnah, hasutan dan khabar angin melalui pelbagai kaedah dan
cara.
Mereka langsung tidak sensitif dengan suasana kehidupan rakyat
yang majmuk, langsung tidak peka dengan implikasi krisis etnik,
langsung tidak endah dengan persefahaman dan kesepakatan hidup
dalam sebuah negara Malaysia yang selama ini kita warisi.
Pemuda berasa amat khuatir dengan perkembangan ini. Perkembangan
yang tentunya menyentuh perasaan dan hati-nurani orang Melayu
dan umat Islam.
Jangan sewenang-wenangnya mempermain, mempertikai dan mencabar
kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini.
Sebarang gerakan atas nama gerakan apa sekalipun, hatta atas
nama kebebasan beragama, kebebasan bersuara atau kebebasan media
tidak akan dibiarkan mencabar hak dan kedudukan yang termaktub
jelas dalam Perlembagaan Negara.
Kepada mereka yang menggelar diri sebagai "Kumpulan Artikel 11",
yang bergerak dalam kempen-kempen mereka ke seluruh negara atas
alasan kononnya untuk menyedarkan rakyat tentang hak kebebasan
beragama,
Pemuda ingin memberi amaran, jangan cuba untuk membangkitkan isu
berkaitan Artikel 11 dan Artikel 121(1A) Perlembagaan
Persekutuan.
Jika usaha negatif sebegini tidak dibendung maka ia akan
mendatangkan implikasi yang amat besar terhadap keharmonian dan
kesejahteraan yang dikecapi selama ini.
Justeru Pemuda berpendapat bahawa apa-apa persoalan dan isu yang
berkaitan dengan agama Islam hendaklah didengar dan diadili oleh
Mahkamah Syariah dan bukannya oleh Mahkamah Sivil, sesuai dengan
Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Manakala mengenai hal berkaitan dengan cadangan untuk menubuhkan
Suruhanjaya Antara Agama (Inter-faith Commission), Pemuda UMNO
mendesak dalam perhimpunan ini agar Kerajaan menolak terus
cadangan penubuhannya.
Kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini. Kita perlu bergerak
seiring untuk memastikan seluruh rakyat menyedari bahawa
kelalaian kita dalam memelihara perpaduan dan keamanan akan
membuka ruang kepada ancaman dari dalam mahupun luar yang boleh
memusnahkan negara.
Tragedi dan peristiwa malang yang berlaku di negara-negara luar
ini harus dijadikan pengajaran dan teladan. Kelemahan dalaman
telah menyebabkan kuasa-kuasa besar menggerakkan propaganda yang
akhirnya membawa kepada peperangan dan kemusnahan. Keamanan dan
nilai kemanusiaan telah hilang dimamah kezaliman dan kerakusan.
Saudara perwakilan sekalian,
Gerakan Keamanan Sejagat
Kita amat bersedih dan bersimpati melihat penderitaan rakyat di
negara-negara yang terlibat dalam peperangan dan malapetaka.
Atas kesedaran dan keinsafan inilah, sejak tahun 2000 lagi, saya
telah memulakan gerakan keamanan dan kemanusiaan yang didukung
ratusan ribu generasi muda di dalam UMNO dan Barisan Nasional.
Selagi kezaliman, ketidakadilan dan hegemoni kuasa-kuasa besar
ini berterusan, selagi itulah kita akan terus menentangnya.
Kita akan terus sebarkan mesej keamanan dan kedamaian kerana
kita yakin dan percaya bahawa inilah perjuangan yang suci dan
murni.
Jangan diragui kejayaan perjuangan ini. Bagi saya ia cukup
bermakna sekiranya kita dapat memberikan bumbung tempat warga
tua berteduh, memberikan sesuap nasi kepada ibu yang mengandung
atau dapat menyelamatkan nyawa walaupun seorang bayi.
Malah ia juga sudah cukup bernilai walau dengan hanya memberikan
sokongan kepada mereka yang tertindas untuk terus bertahan;
memberikan harapan kepada mereka bahawa cahaya keamanan akan
terpancar jua akhirnya.
Saudara perwakilan sekalian,
Rancangan Malaysia Kesembilan dan Agenda Melayu dalam
pelaksanaan Misi Nasional dalam konteks ekonomi - sektor-sektor
baru yang strategik, GLC, ketirisan, pariti pendapatan dan
pegangan ekuiti. (Isu kajian ASLI dan kenyataan Lee Kuan Yew)
Ketika jutaan rakyat di negara lain terhimpit dengan kesukaran
dan keperitan, kita di negara ini amat bernasib baik kerana
dirahmati dan dilimpahi dengan nikmat kesejahteraan dan
keamanan.
Di saat negara tertentu dilanda bencana dan terbelenggu dengan
rancangan pemulihan dari ambang kemusnahan, negara kita
sebaliknya, mengorak langkah berani untuk menyusun rancangan
strategik mencapai wawasan.
Agenda Melayu dalam Misi Nasional
Malah buat pertama kalinya dalam sejarah pembangunan negara,
Agenda Melayu diletakkan secara tersurat di dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMKe-9) tanpa meminggirkan kedudukan
kaum-kaum lain.
Keberanian pemimpin kita ini perlu disahut kerana rancangan ini
adalah satu Misi Nasional di mana strategi Pertumbuhan
dengan Pengagihan yang digagaskan adalah untuk manfaat
seluruh rakyat Malaysia.
Ia selaras dengan pendirian Pemuda sebelum ini agar strategi
pembangunan negara ditumpukan kepada kedua-dua aspek pertumbuhan
dan pengagihan, dan bukannya semata-mata kepada pertumbuhan.
Misi Nasional ini penting kerana ia merupakan fasa lima tahun
kedua Wawasan 2020 dapat tercapai sepenuhnya melalui lima teras
utama, iaitu;
i. Teras Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
ii. Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti
dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama';
iii. Teras Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi
secara membina dan produktif;
iv. Teras keempat: Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti
hidup; dan
v. Teras kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan
negara.
Misi Nasional ini adalah falsafah pembangunan yang merupakan
perkongsian tulen bersandarkan kepada semangat kontrak sosial
yang telah dipersetujui selama ini.
Perkongsian tulen ini mesti wujud berdasarkan kesungguhan,
pengorbanan dan kesediaan untuk membantu kepada yang kurang
berkemampuan agar sikap meminta-minta hanya untuk kelompok
sendiri dapat dihindari.
Sesungguhnya, perkongsian tulen hanya akan berjaya sekiranya
mendapat sokongan dan kerjasama kedua-dua belah pihak. Sekadar
bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi.
Agenda Melayu dalam Misi Nasional pula tidak wajar dianggap
sebagai ‘zero-sum game’, dengan mengatakan hanya orang Melayu
sahaja yang untung dan bukan Melayu akan rugi.
Mereka perlu berani untuk mengakui bahawa sepanjang pelaksanaan
Dasar Ekonomi Baru (DEB), orang bukan Melayu juga turut mendapat
manfaat, secara langsung dan tidak langsung melalui
projek-projek di dalam pelbagai sektor.
Saudara perwakilan sekalian,
Sektor-sektor baru yang strategik
Dalam Misi Nasional kita dapati sektor-sektor baru yang lebih
strategic akan menjadi enjin pertumbuhan masa hadapan dalam
memacu ekonomi negara.
Seperti yang Pemuda suarakan tahun lalu, Pemuda ingin
menyaksikan orang Melayu terlibat dan bersaing dalam
sektor-sektor strategik ini.
Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor pembuatan
semata-mata dan membiarkan sektor-sektor strategik terlepas dari
tangan kita seperti sebelumnya.
Biarpun ada di antara sektor-sektor ini yang sinonim dengan
orang Melayu, kita tidak boleh beranggapan bahawa orang Melayu
akan dapat menguasainya dengan mudah.
Kita perlu sedar bahawa dengan kepakaran mereka, orang bukan
Melayu juga turut mengintai peluang yang sama di dalam
sektor-sektor ini.
Maka, Pemuda UMNO menyarankan agar satu perancangan dan strategi
yang lengkap dibentuk bagi menggalakkan penglibatan Bumiputera
dalam bidang bioteknologi, angkasa lepas dan pertahanan,
teknologi maklumat dan telekomunikasi, industri makanan halal,
bidang perbankan dan kewangan, bidang automotif, bidang tenaga
dan utiliti, bidang perkhidmatan pelancongan, perladangan dan
pertanian.
Bagi memastikan kejayaan hasrat ini, peruntukan kewangan yang
mencukupi juga hendaklah disediakan. Dahulu kita mempunyai
Dasar Pinjaman Bank yang mempunyai sasaran pinjaman
mengikut sektor.
Bagaimanapun hari ini, ia tidak berfungsi seperti yang
diharapkan.
Justeru Pemuda ingin mencadangkan agar diwujudkan semula Dasar
Pinjaman Bank ini yang mempunyai sasaran pinjaman dalam
sektor-sektor strategik ini.
GLC
Kepada Syarikat-syarikat Milik Kerajaan (GLC) pula,
Pemuda mengalu-alukan usaha mereka yang telah mula menggerakkan
pelbagai program berpaksikan kepentingan Agenda Melayu.
Ia selaras dengan gesaan Pemuda UMNO yang selama ini ingin
melihat GLC memainkan peranan yang lebih bersungguh-sungguh
dalam mengatasi pelbagai isu ekuiti dan pekerjaan.
Hari ini, Kerajaan telah memberikan kepercayaan dan
tanggungjawab penuh kepada GLC untuk sama-sama membantu
menjayakan Misi Nasional seperti yang diamanahkan kepada
Khazanah Nasional, Sime Darby dan Petronas dalam membangunkan
koridor wilayah-wilayah.
Selain memberi fokus bagi memastikan kejayaan pembangunan
koridor ini, Pemuda mengharapkan agar mereka juga memberi
penekanan dalam menyediakan program latihan dan perancangan
penempatan, khususnya untuk siswazah yang berkelayakan dan yang
menganggur.
Dalam masa yang sama, Pemuda tetap berpegang kepada prinsip
bahawa GLC perlu memastikan kemajuan pengusaha kecil dan
sederhana dijadikan penunjuk utama kejayaan GLC dan bukan hanya
bersandarkan keuntungan semata-mata.
Ini kerana masih terdapat situasi di mana syarikat GLC dan
Perbadanan Kemajuan Negeri bersaing dengan ahli perniagaan kecil
dan sederhana Bumiputera dalam mengejar projek.
Ini persaingan yang tidak sihat malah bertentangan dengan tugas
dan peranan mereka. Pemuda akan terus membuat pemantauan agar
suasana seperti ini tidak berterusan.
Ketirisan
Kita kena menerima hakikat bahawa perancangan yang baik perlu
disusuli dengan pelaksanaan yang kemas dan tersusun. Sebagai
contoh, kita tidak mahu melihat masalah ketirisan yang
akhirnya tidak dapat membantu orang Melayu untuk berdaya maju
dari berulang.
Ketirisan akan meletakkan orang Melayu lebih jauh dari kedudukan
ekonomi yang disasarkan.
Ketirisan menyebabkan keuntungan ratusan juta ringgit yang
sepatutnya menjadi milik Melayu berpindah tangan.
Lantaran itu Pemuda ingin melihat pendekatan yang
bersungguh-sungguh dilaksanakan bagi membentuk kumpulan usahawan
Melayu yang berdikari, mampu bersaing dan memiliki sikap
terpuji.
Pemuda sekali lagi ingin mengulangi permintaan yang dibuat dalam
perhimpunan tahun lalu, iaitu keinginan untuk melihat agar
Unit Penyertaan Bumiputera digerakkan segera bagi menjayakan
pelan pembangunan Misi Nasional.
Di Kementerian Pelajaran misalnya, unit ini telah mula
beroperasi. Dengan cara ini, saya dapat memastikan agar usahawan
Bumiputera yang tulen diberi seluas-luas peluang dan bimbingan
untuk terlibat di dalam projek-projek Kementerian.
Sementara itu, saya juga telah mengarahkan penelitian dan
pemeriksaan yang ketat dibuat terhadap syarikat dan pemiliknya
sebelum dilibatkan sebagai mekanisme untuk mengelakkan
ketirisan.
Saya sedar, dengan peruntukan yang sedia ada di bawah
Kementerian Pelajaran Malaysia, di bahu saya bukan sahaja
terpikul amanah untuk memastikan agenda pendidikan anak bangsa
berada pada tempatnya, tetapi terpikul juga tanggungjawab untuk
memberi melahirkan dan membimbing kepada seramai mungkin
usahawan Bumiputera yang tulen dan mampu mengisi pertumbuhan
ekonomi negara.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Pariti pendapatan dan pegangan ekuiti
Walaupun kaum Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini,
pariti pendapatan antara Bumiputera dan Bukan-Bumiputera
adalah sesuatu yang masih membimbangkan.
Malahan ia semakin melebar. Sebagai contoh jurang pendapatan
antara Bumiputera dan etnik Cina pada tahun 2004 ialah 1:1.64.
Justeru, apakah menjadi suatu kesalahan sekiranya Kerajaan
berusaha untuk mengurangkan kepada nisbah 1:1.5 pada tahun 2010?
Apakah menjadi suatu dosa sekiranya jurang pendapatan antara
luar bandar dan bandar dapat dikurangkan daripada kedudukan
1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1.2 dalam tahun 2010?
Percayalah jika sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan
untuk membetulkan keadaan ini, kita memerlukan tempoh selama 120
tahun untuk mencapai pariti pendapatan dengan bukan Bumiputera
seperti yang disebutkan oleh sekumpulan pengkaji Universiti
Putra Malaysia.
Demikian juga halnya dengan pencapaian sasaran ekuiti 30
peratus. Dalam tahun 2020 jumlah ekuiti negara dijangka
meningkat pada jumlah RM4,000 bilion.
Sekiranya Bumiputera ingin mencapai 30 peratus, ianya memerlukan
sebanyak RM1,200 bilion. Walau bagaimanapun dalam tahun 2004,
jumlah milikan ekuiti Bumiputera hanyalah berjumlah RM100 bilion
sahaja.
Bayangkanlah saudara-saudara sekalian, sekiranya
tindakan-tindakan radikal tidak diambil apakah mungkin kita
dapat mencapai sasaran pariti dan ekuiti tersebut?
Dengan kesungguhan pelaksanaan penglibatan syarikat-syarikat
Bumiputera tadi dan kesungguhan mengatasi isu-isu ketirisan ini,
saya percaya ia akan dapat mempercepatkan kedudukan keseimbangan
antara Bumiputera dan bukan Bumiputera; sama ada dalam soal
agihan harta, pekerjaan atau merapatkan jurang pendapatan.
Kesemuanya ini akan dapat menjawab sindiran-sindiran secara
terbuka kononnya Agenda ekuiti Bumiputera sudah tercapai. Mereka
mempersoalkan kaedah Kerajaan yang kononnya tidak telus, tidak
menggunakan fakta sebenar dan menyembunyikan data-data tertentu.
Dengan hanya melihat ke dalam 1,000 syarikat di bursa saham dan
dengan hanya mengambil kira 70 peratus saham GLCs sebagai hak
Bumiputera, mereka membuat kesimpulan bahawa ekuiti Bumiputera
sudah mencapai 45 peratus.
Percayalah kaedah rasmi Kerajaan yang lebih meluas dengan
menggunakan fakta yang menyeluruh, jelas menunjukkan pemilikan
Bumiputera masih di tahap 18.9 peratus.
Inilah realiti ekonomi negara yang boleh dilihat dengan mata
kita sendiri berbanding dengan kajian ASLI yang langsung
tidak memijak bumi yang nyata.
Amat malang apabila sebuah kajian yang dibuat lebih bersifat
polemik daripada menunjukkan kebenaran yang sahih.
Pemuda UMNO ingin mengulangi dan mengingatkan kepada mereka
supaya tidak bermain dengan isu pemilikan ekuiti antara kaum
ini.
Dalam mata kasar sesiapa sahaja memaklumi bagaimana perlumbaan
untuk mencapai keseimbangan ekuiti dan pendapatan masih menjadi
tajuk perbincangan utama.
Sekiranya tidak mahu bercakap soal penumpuan agihan pada
satu-satu kaum sahaja, maka mereka juga perlu telus melihat ke
dalam amalan-amalan diskriminasi yang berlaku di dalam pasaran
seperti yang pernah kita bangkitkan dulu mengenai fenomena
syarikat-syarikat bukan Bumiputera yang mensyaratkan bahasa
tertentu sahaja sebagai kemestian untuk mendapatkan pekerjaan.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Dalam masa yang sama, kita juga amat berang dengan kenyataan dan
pandangan yang tidak berasas oleh seorang pemimpin negara luar
yang mempersoalkan dasar-dasar Kerajaan.
Saya yakin bahawa Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk
berhadapan dengan mereka apatah lagi percubaan tersebut telah
mempertikaikan kedudukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sebenarnya kenyataan yang tidak bertanggungjawab, menghina dan
menuduh dasar-dasar kita adalah untuk menutup kelemahan dan
tembelang mereka sendiri. Ada pantun lama yang amat sesuai
ditujukan pada mereka:-
Anak Dagang dari seberang,
Bawa jual ikan tenggiri,
Mengata orang jangan sebarang,
Tak pernah cermin diri sendiri.
Biar saya dedahkan tentang apa yang sebenarnya berlaku di negara
tersebut dengan memetik rencana tulisan Michael D. Barr yang
dilaporkan dalam Far Eastern Economic Review, Oktober 2006
baru-baru ini (artikel disertakan). Beliau menyebut
bahawa:-
“telah berlaku diskriminasi yang nyata terhadap kaum-kaum bukan
cina di Singapura di mana kalau dalam bidang pendidikan;
daripada tahun 1966 hingga 2005, penerima Biasiswa Presiden,
hanya 14 atau 6.4 peratus sahaja penerimanya yang bukan
berbangsa Cina termasuklah hanya seorang anak Melayu.
Sekiranya kita melihat dalam perspektif yang lebih luas, sejak
merdeka senarai penerima Biasiswa Presiden pula, hanya 2 orang
penerima muslim, itu pun salah seorang daripadanya adalah
penerima berdarah campuran Melayu dan Cina.”
Jelas amalan diskriminasi yang didakwa berlaku di negara ini
sebenarnya berlaku dengan serius di negara mereka sendiri,
“kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.”
Pemuda UMNO ingin memberitahu kepada pemimpin tersebut agar
berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan adalah lebih baik
agar beliau menjaga negaranya terlebih dahulu sebelum mencampuri
urusan negara kita.
Saudara perwakilan sekalian,
Agenda Pendidikan dalam Misi Nasional – Agenda Teras,
Pemartabatan Profesion Keguruan, Agenda Memperkasa Bahasa
Kebangsaan dan Pemeliharaan Tulisan Jawi
Selain memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu, Misi Nasional
juga adalah sebaik-baik ruang dan peluang untuk orang Melayu
bersatu bagi memperkukuh agenda pendidikan Melayu.
Generasi muda hari ini, yang masih berada di bangku sekolah,
akan berada di barisan hadapan, membawa obor, meneraju bangsa,
memimpin negara tatkala kita sama-sama melintasi garis penamat
Wawasan 2020.
Setiap ruang dan peluang ini mesti dimanfaatkan untuk melahirkan
sebanyak mungkin anak Melayu dengan ciri-ciri warga glokal yang
mampu menerajui pelbagai bidang serta kepakaran di dalam negara
dan di peringkat antarabangsa.
Agenda Teras
Pemuda sedar bahawa pendidikan amat penting untuk mengubah taraf
sosio-ekonomi orang Melayu. Atas kesedaran ini, agenda
pendidikan sentiasa diangkat sebagai salah satu agenda utama
Pergerakan Pemuda.
Sejak tahun 2000, saya telah memperjuangkan agenda untuk
memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan dan
membasmi keciciran agar nasib anak-anak Melayu yang majoritinya
berada di sekolah kebangsaan, yang majoritinya berasal dari
keluarga berpendapatan rendah dan yang majoritinya berada di
kawasan luar bandar akan terbela.
Hasrat kita adalah agar anak-anak Melayu yang terpinggir ini
diberi peluang untuk bersaing secara lebih adil di atas padang
yang lebih rata.
Jangan sekali-kali kita benarkan kemiskinan, ketiadaan prasarana
yang lengkap, ketiadaan perkakasan yang sempurna dan ketiadaan
guru yang mencukupi menjadi penghalang kepada anak Melayu untuk
berjaya dan menjadi punca keciciran mereka.
Pemartabatan profesion keguruan
Pada waktu yang sama, kita juga sedar bahawa tanpa guru yang
berkemahiran, berpengalaman dan yang benar-benar
bertanggungjawab terhadap tugasnya, tidak mungkin matlamat
agenda pendidikan dapat dicapai dengan sempurna.
Hakikatnya, hanya guru yang cemerlang sahaja yang dapat
melahirkan pelajar yang cemerlang. Justeru perjuangan untuk
memartabatkan profesion keguruan telah menjadi keutamaan saya
sejak dahulu lagi.
Melalui agenda ini, kita bukan sahaja mahu lebih ramai guru
cemerlang dihasilkan, tetapi juga agar guru yang cemerlang ini
kekal cemerlang di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Melalui agenda ini, kita mahu agar golongan guru, yang
sebahagian besarnya terdiri dari guru Melayu, merasa terbela dan
terjamin masa depan mereka seterusnya membolehkan mereka
menumpukan sepenuh perhatian untuk mendidik anak bangsa
sebaik-baiknya.
Ditakdirkan hari ini saya telah diberi kepercayaan oleh Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri dan dilantik menjadi Menteri
Pelajaran.
Suka tak suka, mahu tak mahu, sekarang tanggungjawab untuk
melaksanakan agenda pendidikan Melayu yang merupakan perjuangan
saya sejak menerajui Pemuda telah diletakkan di atas bahu saya
sendiri.
Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana di bawah kepimpinan Yang
Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, di dalam
RMK-9, perancangan untuk melaksanakan agenda pendidikan Melayu
ini telah pun tersenarai.
Agenda untuk memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang
pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan merupakan antara
enam teras utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Kementerian
Pelajaran.
Kita telah mengetahui jumlah peruntukan yang diberikan dan kita
juga telah mengetahui tempoh masa yang ditetapkan untuk
melaksanakannya. Saya sedar peruntukan yang diberikan agak
terhad dan tempoh pelaksanaannya agak singkat.
Justeru saya akan pastikan agar tidak berlaku sebarang
pertindihan dan pembaziran. Kita akan memastikan program yang
tersenarai dilaksanakan secara berhati-hati dan jentera Kerajaan
dihalang dari pembaziran, amalan boros dan bermegah-megah dengan
keindahan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Biarpun sukar, amanah dan kepercayaan yang diberi kepada saya
ini tidak pernah sekali-kali saya abaikan dan telah saya junjung
untuk meletakkan agenda pendidikan Melayu pada tempatnya.
Saya suka menyatakan di sini bahawa tidak mungkin saya dapat
melaksanakan segala ini tanpa mandat dan kepercayaan untuk saya
terus memimpin saudara-saudara sekalian.
Malah tidak mungkin juga saya mampu melaksanakan tugas dan
memikul amanah yang amat berat ini tanpa sokongan, tanpa bantuan
dan doa saudara-saudara semua.
Saudara Perwakilan sekalian,
Agenda Memperkasa Bahasa Kebangsaan
Dalam keghairahan kita semua memacu kemajuan negara di dalam
RMK-9, jangan sesekali kita lupakan soal jati diri dan soal
identiti Bangsa yang hendak dilahirkan.
Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan rakyat
Malaysia adalah lambang identiti bukan sahaja untuk kaum Melayu
malah juga bagi semua bangsa, keturunan atau suku kaum di negara
ini.
Bagi Pemuda, tiada noktah di dalam perjuangan untuk memperkasa
bahasa kebangsaan.
Perjuangan memperkasa bahasa kebangsaan adalah usaha yang
berterusan bagi memastikan Bahasa Melayu dihormati, diutamakan,
dimuliakan dan dimartabatkan oleh setiap yang mengaku dirinya
Bangsa Malaysia.
Tugas memperkasa bahasa kebangsaan adalah tugas kita semua;
tugas dan tanggungjawab setiap rakyat mahupun kumpulan yang
ghairah memperjuangkan konsep Bangsa Malaysia.
Ramai sudah orang Kampuchea
datang mendadak merayu-rayu
Jangan mudah berbangsa Malaysia
selagi tidak berbahasa Melayu
Bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Yang
Berhormat Dato’ Zainuddin Maidin, kami telah memulakan gelombang
baru gerakan memperkasa bahasa kebangsaan sejak tahun 2004 lagi.
Kita telah bermula dengan kajian semula Dasar Buku Negara,
diikuti dengan pembentukan Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa
Kebangsaan sehinggalah kita mendapat persetujuan Jemaah Menteri
untuk memberi lebih kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP).
Dalam soal memperkasa bahasa kebangsaan ini, saya yakin bahawa,
zaman ketika DBP dilahirkan 50 tahun dahulu amat berbeza
daripada suasana hari ini.
Tentu sahaja, pada zaman yang berbeza ini, cabaran yang didepani
DBP dan tuntutan serta pengharapan rakyat terhadap DBP juga
berbeza.
Selama ini, kita sentiasa meminta DBP mendekati rakyat pelbagai
kaum tetapi dalam gelombang baru ini, saya berpendapat adalah
menjadi tanggungjawab rakyat juga untuk mendampingi DBP kerana
DBP tidak akan bererti tanpa sokongan rakyat.
Pemeliharaan Tulisan Jawi
Seiring dengan perjuangan memperkasa Bahasa Kebangsaan, kita
jangan sekali-kali lupa terhadap pemeliharaan penggunaan
tulisan jawi yang semakin pupus.
Saya amat memandang serius apabila satu-satunya akhbar dalam
tulisan jawi - Utusan Melayu - berkubur pada penghujung tahun
2002, setelah 63 tahun lahir di tengah-tengah masyarakat Melayu
pada 29 Mei 1939.
Saya menganggap ia merupakan satu tragedi dalam sejarah keilmuan
bahasa Melayu kerana jika berkuburnya tulisan jawi maka akan
berakhirlah satu sejarah gemilang tradisi persuratan orang
Melayu.
Justeru, tulisan jawi yang juga merupakan skrip budaya Melayu
wajar dibudayakan terus.
Kementerian Pelajaran, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan serta Kementerian Penerangan, akan terus berpadu tenaga
untuk menyemarakkan perjuangan ini kerana dengan berkuburnya
tulisan jawi, maka akan terputus langsunglah hubungan unik di
antara tulisan orang Melayu dengan teras agamanya - yakni Bahasa
Arab yang menjadi asas tulisan jawi itu.
Alhamdulillah, atas kesedaran segera untuk menyelamatkan akhbar
Utusan Melayu ini maka inisiatif untuk menghidupkan semula
akhbar tersebut menjadi kenyataan walaupun buat masa ini ia
diterbitkan seminggu sekali.
Malah melalui program j-QAF anak-anak kita sedang dan akan
dilatih untuk menguasai tulisan jawi sebelum mereka menamatkan
pelajaran di peringkat rendah.
Insyaallah, melalui gerakan memperkasa bahasa kebangsaan;
melalui gerakan untuk memperkukuh kedudukan warisan dan budaya,
akan terbina tamadun bangsa seperti yang dihasratkan oleh Yang
Amat Berhormat Dato' Seri Presiden kita.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Penangguhan Pemilihan Parti
Mulai hari ini saya mahu Pemuda melangkah setapak lagi ke
hadapan dengan bukan sekadar menjadi jurubicara rakyat tetapi
mempersiapkan diri untuk menjadi penggerak utama kepada usaha
meningkatkan keupayaan survival UMNO.
Musuh-musuh dan pesaing-pesaing kita akan sentiasa berusaha
untuk menghalang kemajuan ini. Seperti yang saya nyatakan tadi,
musuh sentiasa menunggu peluang; menanti dengan sabar seandainya
mendapati kita melakukan kesilapan.
Semakin banyak ruang yang kita buka maka semakin luaslah peluang
mereka. Mereka tidak berjuang bersandarkan rasa tanggungjawab
kepada masa depan negara tetapi lebih kepada kepentingan diri.
Kuasa menjadi rebutan dan kesilapan kita menjadi sandaran. Sebab
itu hari ini, parti-parti pembangkang juga telah kehabisan modal
dan jika kita tutup rapat peluang mereka maka kita akan berjaya
menghalang hasrat mereka mencapai matlamat politik sempit ini.
Yakinlah bahawa tiada gunanya kita bersengketa dengan mencari
kelemahan sesama sendiri, kerana jika digandingkan kelebihan
yang ada, Pemuda UMNO sebenarnya merupakan pergerakan yang amat
kuat, digeruni dan mampu berhadapan dengan sesiapa jua. Tidak
ada gunanya kita berjawatan dalam parti tetapi kalah dalam
pilihan raya.
Justeru, Pemuda mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi
menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihan raya akan datang.
Keputusan ini akan menyumbang kepada usaha untuk menumpu
pengukuhan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke
12.
Penangguhan pemilihan kepimpinan ini perlu kita sahut dengan
mengelak dan mengurangkan pergeseran sesama kita kerana
sesungguhnya kempen keterlaluan untuk merebut jawatan sudah
tentu akan menyemai benih-benih perpecahan di antara kita.
Situasi ini perlu dielak dari berlaku dalam apa jua keadaan.
Selagi saya menjadi Ketua saudara-saudara sekalian, tidak akan
saya izinkan mereka yang mementingkan diri sendiri,
menghancurkan parti kita kerana tindakan seumpama ini samalah
seperti kelakuan pembangkang yang hanya mahu meraih kuasa untuk
memenuhi matlamat diri semata-mata.
Saya ingin bertanya kepada saudara-saudara sekalian, kalau
beginilah sikap sahabat, apa gunanya musuh.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Bendera UMNO dinamakan Sang Saka Bangsa
Pada tanggal 29hb Jun 1946, di persidangan kedua Majlis Agung
UMNO di Dewan Bandaran Ipoh, Perak, telah menyaksikan detik
bersejarah kelahiran bendera UMNO.
Mulai dari saat itu, bendera UMNO yang dicadangkan oleh
Persatuan Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur telah banyak
menyaksikan peristiwa suka duka sejarah perjalanan perjuangan
bangsa.
Bermula dengan penentangan terhadap Malayan Union, kejayaan
memerdekakan negara, menangani isu konfrontasi dan ancaman
komunis, sehinggalah ke hari ini kita telah dapat menyaksikan
pembangunan negara berlangsung dengan pesatnya.
Setelah sekian lama berkibar megah dan terpampang indah di
serata pelosok negara, tidak kira panas dan hujan, tidak kira
angin dan taufan, sudah tiba masanya bendera keramat yang
membawa obor kemerdekaan dan menjulang martabat bangsa Melayu
ini diberi identiti dan pengertian yang lebih bermakna.
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi Maha mengasihani,
Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar Bendera keramat UMNO
ini dinamakan "Sang Saka Bangsa".
Nama ini terbit dari kesedaran bahawa warisan kewibawaan
keturunan yang menjadi tiang seri penegak dan peneguh agama,
bangsa dan negara.
Ia adalah lambang orang Melayu yang menjadi bangsa berdaulat
yang diperjuangkan hak dan maruahnya oleh UMNO.
Ia adalah panji yang membawa makna mendalam bagi seluruh orang
Melayu untuk terus berjuang atas nama kesatuan jiwa, kesatuan
cita-cita. Maka marilah kita berdoa agar bendera Sang Saka
Bangsa akan terus berkibar megah, walaupun kita akan meredah
duri dan ranjau, meskipun kita akan menghadapi kemungkinan
mendatang.
Saudara Perwakilan Sekalian,
Perhimpunan Pemuda hari ini sesungguhnya meninggalkan kesan yang
mendalam dalam jiwa sanubari kita. Sejak membina tekad baru
Pemuda tahun lalu atas nama Keris Panca Warisan hari ini
menyaksikan semangat itu telah meresapi dalam jiwa sanubari
saudara-saudara sekalian.
Ia menjadi bara yang akhirnya menyala sehingga terbina kekuatan
Pemuda UMNO yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa lagi.
Saya berbangga warisan perjuangan ini meletakkan saudara-saudara
Pemuda UMNO, Pewaris bangsa, di atas landasan kukuh dengan jiwa
Melayu dan berani meneruskan Agenda Melayu.
Ingatlah saudara-saudara sekalian, Melayu yang beragama Islam
dan bertutur dalam Bahasa Melayu serta mengamalkan adat istiadat
Melayu hanya satu. Dan Melayu yang satu itu hanya ada di bumi
Malaysia ini.
Pertubuhan yang satu-satunya berjuang untuk menjadikan Melayu
ini kekal wujud hanya satu. Dan yang satu itu adalah UMNO.
Maka jagalah UMNO baik-baik. UMNO yang satu ini perlu dipelihara
dan dipertahankan kewujudannya agar Melayu yang satu itu tidak
akan hilang di dunia.
Kibarkanlah Sang Saka Bangsa ini sebagai lambang
kewujudan, keteguhan dan kesinambungan perjuangan UMNO. Selagi
Sang Saka Bangsa terus berkibar, selagi itulah kita akan
mendaulatkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Allahu Akbar!
Walillah hil hamd |